Home Dalam Negara ‘Mama, nak kek Upin Ipin’

‘Mama, nak kek Upin Ipin’

by admin

‘Mama, nak kek Upin Ipin’. “MAMA, jangan lupa buatkan untuk Ashraff kek Upin Ipin, nanti balik Ashraff makan,” permintaan terakhir Aidil Ashraff Rizuan, 5, kepada ibunya Fazillah Ahmad, 34, sebelum dia maut dalam kemalangan, malam tadi.

Kanak-kanak itu meninggal dunia bersama nenek, Rakiah Mat, 64, dan bapa saudara, Rosli Mat Daud, 38, selepas Proton Saga dinaiki mereka bertembung dengan bas ekspres di KM140 Jalan Kuantan-Johor Bahru, Rompin pada 11.50 malam.

Sementara bapanya, Rizuan Mat Daud, 34, yang memandu kereta itu parah dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Fazillah berkata, dia sudah menunaikan permintaan Aidil Ashraff dan hanya menunggu kepulangan anak tunggal kesayangannya itu untuk makan kek bersama-sama.

“Ashraff meminta kek itu ketika menghubungi saya pada petang Sabtu, sebelum mereka bertolak ke Kelantan. Saya sudah buatkan kek itu walaupun kek biasa sahaja dan menunggunya untuk makan bersama,” katanya.

Dia yang ditemui di pekarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Rompin, hari ini kelihatan sugul dan terkesan dengan kehilangan ahli keluarganya terutama Aidil Ashraff.

Katanya, dia sempat bermanja dengan anak dan suaminya, Rizuan sebelum mereka berpisah pada pagi Sabtu kerana dia keluar bekerja.

“Mereka bertolak ke Kelantan selepas Maghrib dan Ashraff sempat menelefon saya meminta buatkan kek Upin Ipin itu. Rasa ralat dan sedih kerana dia tidak sempat menjamahnya,” katanya.

Wanita itu berkata, kali terakhir dia menghubungi suaminya pada 11.30 malam dan dimaklumkan mereka singgah di Rompin untuk berehat.

Dia juga sempat menasihati suami supaya berhati-hati ketika memandu disebabkan hujan dan menghantar pesanan ringkas bertanya kedudukan mereka tetapi tiada balasan.

“Pada 1 pagi, saya telefon dan dijawab anggota polis yang memaklumkan suami serta keluarga terbabit kemalangan,” katanya yang menetap di Kampung Melayu Pandan, Johor Bahru.

Sementara itu, isteri kepada Rosli, Normawati Wagiman, 40, berkata, suami dan adik iparnya dalam perjalanan pulang dari Kelantan selepas membawa ibunya untuk temu janji dengan doktor pakar di sebuah hospital di situ.

“Temu janji itu dibuat kerana ibu mahu berpindah ke Kelantan dan perlu menjalani rawatan dialisis dan ia memerlukan kelulusan serta pemeriksaan daripada doktor pakar di Kelantan terlebih dahulu.

“Saya terkejut apabila mendapat panggilan daripada saudara yang memaklumkan suami dan keluarganya terbabit kemalangan ini hingga meninggal dunia,” kata ibu kepada tiga cahaya mata berusia dua hingga enam tahun.

Jenazah Aidil Ashraff dan Rakiah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Istimewa, Kangkar-Tebrau, Johor Bahru, manakala Rosli pula dikebumikan di FELDA Papan Timur, Kota Tinggi. – myMetro.

related posts

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More