Home Dalam Negara Mati tunggu rumah siap

Mati tunggu rumah siap

by admin

KLUANG: “Saya sedih! Ada pembeli mati namun rumah dibeli mereka sejak lebih 30 tahun lalu masih belum dapat disiapkan,” ujar seorang mangsa projek rumah terbengkalai yang hanya mahu dikenali sebagai Amran, 59.

Menurutnya, sebahagian 88 pembeli projek rumah kos sederhana fasa empat Taman Seri Lambak di sini, sudah melangsaikan hutang pinjaman bank.

“Malangnya hingga kini kami masih gagal memperoleh kunci rumah. Biarpun pelbagai pihak campur tangan selepas projek berusia 34 tahun itu diisytiharkan terbengkalai pada 2000, ia terus menjadi tanda tanya.

“Walaupun pelbagai tindakan diambil dan proses pengambil alih pembinaan rumah itu dilakukan pada 2015, ia tidak memberikan apa-apa erti kepada pembeli,” katanya.

Amran berkata, kawasan projek perumahan itu dibiarkan dalam keadaan semak-samun oleh pemaju yang dipertanggungjawabkan menyelesaikan projek itu selain menjadi lokasi penagih dadah melepaskan gian.

“Selama ini kami bukan sahaja terpaksa menyewa rumah lain untuk sementara namun perlu membayar duit pinjaman perumahan di bank.

“Paling tidak boleh diterima apabila semua pembayaran sudah dilunaskan pembeli, tetapi rumah kami tetap juga belum siap.

“Ada antara pembeli meninggal dunia dan proses untuk menuntut hak rumah dibeli itu digalas anak yang kebanyakannya belum lahir ketika mula-mula proses pembelian dilakukan ibu bapa mereka,” katanya.

Menurut Amran, semua pembeli unit terbabit bagaikan hilang arah terutama dalam mendapatkan keadilan terhadap isu berkenaan.

“Persoalannya berapa lama kami harus menunggu, siapa lagi yang harus kami lontarkan berkaitan isu ini dan mengapa tiada tindakan pihak berwajib?

“Kami berkorban wang ringgit untuk tinggal di rumah ini dan begini pengakhirannya yang sangat mengecewakan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang, R Vidyananthan berkata, hanya 26 rumah siap sepenuhnya 11 tahun lalu manakala 88 rumah yang mempunyai pembeli masih terbengkalai.

“Selain itu, 378 unit lagi belum dilakukan pembinaan dan tiada pembeli berminat,” katanya.

Jika mengikut perancangan sebelum ini, katanya, syarikat pemaju perumahan yang mengambil alih daripada pemaju sebelum ini sepatutnya mula meneruskan pembinaan pada Oktober 2015 selepas semua proses berkaitan selesai.

“Melalui perjanjian itu, syarikat berkenaan perlu menyiapkan terlebih dahulu 88 rumah yang mempunyai pembeli selain menyediakan Sijil Layak Menduduki (CF) 26 pembeli rumah yang sudah siap sepenuhnya itu.

Menurut Vidyananthan, hasil daripada tindakan berterusan pihaknya, pada April 2018 Jabatan Perumahan Negara (JPN) mengeluarkan lesen kepada pemaju namun permit pembinaan belum dikeluarkan.

“Insolvensi juga memberikan kerjasama kepada pemaju sebagai tanda persetujuan tambahan kepada pembelian ini dengan pihak pembeli dan mereka perlu membuat bayaran tambahan antara RM30,000 hingga RM40,000 seorang dan perkara itu perlu dimasukkan dalam perjanjian baru.

“Selepas daripada itu, hingga hari ini tiada lagi apa-apa perkembangan terbaru berkaitan pembinaan rumah ini dan belum ada usaha dilakukan untuk membantu pembeli,” katanya. – myMetro

related posts

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More